Thursday, July 23, 2009

PROFILE PENGASAS SELAKU GURU UTAMA

PROFILE PENGASAS SELAKU GURU UTAMA

Abdul Aziz bin Mohd Ali yang bergelar Raja Aziz Laksamana Hojak Andak.

Beliau pernah aktif bersama Kementerian Kebudayaan Kuala Lumpur yang diasuh oleh Allahyarham Bapak Osama Sumanti yang dulunya dikenali sebagai Guru Tari Kuno dan Guru Persilatan (Silat Pulut).

Selain mendalami ilmu-ilmu persilatan dan kebatinan, Abdul Aziz bin Mohd Ali turut membuka matanya melihat aliran orang lain. Oleh itu beliau pernah mendalami seni Judo dan Pergerakan Kudokan Ninja perseorangan dengan Master Herakawa selama 4 tahun.

Selepas itu, beliau mendalami ilmu Taichi bersama Master Lee dan meneruskan pelajaran seni mempertahankan diri (silat) sebanyak 7 jenis. Kebolehan yang ditunjukkan itu, Abdul Aziz bin Mohd Ali telah bergelar sebagai guru dalam usia yang muda. Rasa tidak puas hati dengan kebolehan sendiri menyebabkan Abdul Aziz bin Mohd Ali mencari guru-guru yang dikira dapat memberikan ilmu kepadanya. Silat Sheikh Baginda Ali, Batin Harimau Puaka, Sheikh Gagak di Rimba, Perilmuan Changkat dan lain-lain lagi adalah aliran yang pernah dipelajarinya.

Setelah bapa angkatnya mangkat, pada usia 120 tahun lebih, dia diamanahkan mengembangkan silat Acheh Helang Putih ini sebagai menggantikan arwah gurunya. Setelah itu Abdul Aziz bin Mohd Ali menambah perkataan Acheh Helang Putih kepada Kegayungan Acheh Helang putih yang bererti silat ini penuh dengan kebatinan (maksud kebatinan disini adalah mengawal dari segi fizikal dan mental menggunakan segala pancaindera tubuh badan seperti mata, telinga, rasa serta pernafasan dan bukannya menggunakan bantuan makhluk halus).

KETURUNAN PENGASAS SENI SILAT KEGAYUNGAN (A)

HELANG PUTIH

  • Berdarah Raja Mendeleng (Sibarora)
  • Keturunan Raja Sakti
  • Beliau digelar Raja Lakamana Hojak Andak
  • Mewarisi "Keris Picit LangKitang Sibaitang" (Tuan Putri Terus Mata)

Tuesday, July 21, 2009

Sejarah Pertubuhan Seni Silat Kegayungan Acheh Helang Putih Malaysia


Seni Silat Kegayungan Acheh Helang Putih berasal dari Acheh. Menurut ceritanya anak raja yang bergelar Raja Sulung Tunggak Pahlawan dari negeri Pagar Gunung pergi berburu bersama-sama pengiringnya ke dalam hutan tebal yang jauhnya berpuluh-puluh kilometer dari istana.

Ketika asyik berburu baginda telah bertemu dengan seekor burung helang putih yang sangat cantik. Helang itu telah menarik minat baginda. Di dalam hati baginda alangkah beruntungnya jika burung itu dapat ditangkap dan dijadikan burung peliharaannya. Baginda sangat tertawan dengan burung helang sehingga tidak disedarinya telah mengikuti burung itu jauh ke dalam hutan seorang diri. Tanpa menghiraukan pengiringnya baginda telah sampai ke sebuah gua yang terletak di pertengahan puncak sebuah bukit. Keadaannya sangat sunyi tetapi bagaikan ada yang mendesak hati dan menggerakkan kakinya menuju ke sebuah gua yang sederhana besarnya itu.

Helang putih terus memasuki gua batu itu dan baginda terus mengikutinya dari belakang. Sebaik sahaja memasuki gua itu, baginda telah dikejutkan oleh satu lembaga manusia yang duduk kaku di atas sebuah batu besar. Lembaga yang dilihat itu adalah orang pertapa yang sudah bertahun-tahun lamanya menetap di situ. Anehnya perasaan takut tidak terbit di hati baginda malah baginda asyik dengan apa yang ada di gua itu.

Akhirnya baginda terlena. Di dalam tidur yang nyenyak,baginda telah bermimpi orang pertapaan itu ialah Ratu Agung Raden Dindiar dan helang putih itu adalah daripada keluarga kayangan, anak kepada Tuan Puteri Terus Mata.

Helang putih itu asalnya ialah seorang lelaki yang perkasa dan pandai dalam ilmu persilatan, namanya Indera Sakti. Dia telah disumpah oleh ayahandanya kerana sering turun ke bumi dan berdamping dengan manusia.

Ratu Agung Raden Dindiar yang berasal dari Acheh, berketurunan Jawa, sayangnya kepada helang putih seperti dia menyayangi dirinya sendiri. Dari pergerakan seekor helang, Ratu Agung Raden Dindiar dapat mendalami ilmu beladiri dengan secukupnya. Sebaik anak raja itu terjaga dari tidurnya, baginda melihat burung helang putih masih berada dalam gua tersebut. Bermula dari peristiwa itu baginda tidak pulang ke istana sehingga menamatkan perguruannya dengan Ratu Agung Raden Dindiar.

Setelah bertahun-tahun lama mempelajarinya, baginda akhirnya pulang ke istana. Baginda telah mengembangkan ilmu yang dipelajarinya. Maka berkembanglah Seni Silat Acheh Helang Puth dan menjadi satu seni beladiri yang terkenal pada masa itu. Aliran silat ini merupakan silat keturunan yang sekarang dikembangkan secara meluas oleh cucunya Raja Sulung Tunggak Pahlawan iaitu Abdul Aziz bin Mohd Ali yang bergelar Raja Aziz Laksamana Hojak Andak